Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly.

Tuesday, November 3, 2009

HSBB: Penjelasan TM

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Telekom Malaysia Bhd. (TM) mengamalkan proses tender terbuka kepada para pembekal Prinsipal bagi menjamin kualiti dengan risiko minimum bagi Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) nasional yang bernilai RM11.3 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Zamzamzairani Mohd. Isa dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, proses penilaian tender yang dilakukan TM adalah berdasarkan merit dan keupayaan serta melalui proses semakan Jawatankuasa Lembaga Tender terdiri daripada sembilan ahli.

''Setakat akhir September lalu, TM telah memberikan kerja kontrak berkaitan HSBB bernilai RM1.18 bilion. Lebih daripada 200 pembekal tempatan telah diberikan kontrak bernilai RM600 juta untuk infrastruktur FTTH (Fibre To The Home) Pasif diberikan kepada syarikat infrastruktur fiber optik tempatan.
''Bagaimanapun, TM masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai siapakah yang menerima kontrak-kontrak HSBB. Pengumuman ini akan dibuat kelak,'' kata beliau.
Kenyataan beliau adalah sebagai mengulas dakwaan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bahawa firma tempatan tidak dapat menyertai kontrak Kelas A projek HSBB dan hanya menjadikan rakan kepada syarikat Prinsipal. (Lihat muka 25)
Zamzamzairani menjelaskan, sebagai sebuah projek menyeluruh untuk tempoh 10 tahun, kerja-kerja yang terlibat dilakukan secara berperingkat-peringkat.
''Selepas perjanjian ditandatangani pada bulan September tahun lalu, ini merupakan di peringkat awal projek ini. Apabila projek ini terus dilaksanakan, masih banyak lagi peringkat yang akan dilalui,'' jelasnya.
Zamzamzairani berkata, memandangkan pelaburan ini adalah yang pertama seumpamanya di negara ini, TM telah menggariskan dengan teliti keperluan vendor bagi memastikan kualiti hasil yang terbaik untuk sesebuah pelaburan nasional sebegini.
''Sebahagian besar kerja-kerja infrastruktur fiber optik dan pembangunan rangkaian teras memerlukan keupayaan dan pengalaman berteknologi tinggi yang masih sukar diperoleh berikutan kecanggihan projek ini.
''Projek ini juga melibatkan teknologi baru yang kompleks dan peralatan yang tidak dihasilkan di Malaysia. Justeru, hanya pengeluar antarabangsa yang mampu membangun dan menghasilkan peralatan canggih ini dengan sistem yang terbukti,'' kata beliau.
Zamzamzairani berkata, bagi memastikan projek ini berjalan lancar dengan risiko minimum dan kualiti perolehan terbaik adalah wajar, pihaknya melakukan proses terbuka terus kepada para pembekal prinsipal.
Oleh kerana, ia merupakan projek infrastruktur bertaraf dunia, terdapat kebarangkalian kerugian boleh melebihi daripada nilai kontrak sebenar, jadi sewajarnya TM memeterai perjanjian kontrak dengan Prinsipal yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perkara itu, jelasnya.
Beliau menambah, sebagai sebahagian daripada kriteria tender tersebut, para pembekal prinsipal yang membida telah disyaratkan untuk mengenal pasti kontraktor tempatan yang berkebolehan sebagai Rakan Tempatan Utama (Focal Local Partner).
''Ini adalah bagi memastikan usahasama strategik antara Prinsipal dan Rakan Tempatan Utama membolehkan pemindahan pengetahuan (knowledge transfer), pembinaan keupayaan dan pemberian nilai tambah sebenar.
''Rakan Tempatan Utama ini kemudiannya akan mengenal pasti rakan-rakan usahasama tempatan yang berkelayakan untuk bekerjasama dengan mereka dalam projek ini. Dengan pengetahuan ini yang diperoleh menerusi "pengeksportan pengetahuan", katanya.
Zamzamzairani berkata, TM bersama-sama syarikat tempatan boleh meningkatkan nilai dengan menawarkan perkhidmatan perundingan dan perkhidmatan berkaitan yang lain kepada syarikat telekomunikasi lain di rantau ini yang merancang untuk memperkenalkan teknologi Internet Protokol (IP) untuk rangkaian mereka di dalam dan luar negara.
Justeru itu, kata beliau, TM telah mengambil langkah untuk melindungi kepentingan rakan tempatan utamanya dengan memperkenalkan Perjanjian Utama (Master Agreement).
Tambahnya, ini membolehkan TM memantau dan mengawal hubungan antara prinsipal dan rakan tempatan utama bagi mencapai objektif polisi nasional.
Di samping bertanggungjawab secara terus di atas kejayaan perlaksanaan projek ini, Perjanjian Utama ini juga turut merangka pemindahan dan penglibatan rakan tempatan utama yang mesti diambil kira oleh prinsipal untuk membangunkan syarikat- syarikat tempatan, kata beliau lagi.

No comments:

Post a Comment